Negeri

Onn Hafiz sahkan rombakan portfolio Exco Johor minggu hadapan

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan akan merombak portfolio Exco Johor minggu depan bagi memperkasakan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

“Ya akan ada (rombakan) tetapi ia minimum. Insya-Allah dalam minggu depan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Khamis lalu, dalam majlis Tahun Baru Cina di Kediaman Rasmi Menteri Besar bersama masyarakat Tionghua Johor, Onn Hafiz dilaporkan berkata beliau akan mengambil alih portfolio pelancongan.

Ia sekaligus memberi isyarat akan berlaku rombakan portfolio Exco yang sebelum ini heboh diperkatakan di negeri itu.

Onn Hafiz sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan, sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19, pada 15 Mac 2022.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor ketika ini disandang ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar.

Terdahulu, Onn Hafiz mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Johor buat kali pertama selepas dilantik sebagai Pengerusi Umno Johor sejak 7 Disember lalu.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang dan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Related Articles

Back to top button