Nasional

Op Selamat 21 sempena Tahun Baru Cina catat 46 kematian, 4,764 kes kemalangan

Sebanyak 4,764 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh tiga hari pelaksanaan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina, bermula Khamis sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia membabitkan 5,891 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kes kemalangan maut direkodkan dengan 46 kematian.

“Seramai 32 orang atau 69 peratus daripada keseluruhan kes kematian itu membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, JSPT merekodkan lebih 6 juta kenderaan yang menggunakan lebuh raya sepanjang tempoh sama.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 5.78 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Plus ke utara dan selatan serta timur dengan purata 1.92 juta kenderaan dalam satu masa, manakala 886,106 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak arah Pantai Timur dengan purata 295,369 kenderaan.

“JSPT menjangkakan berlaku peningkatan kenderaan sepanjang tempoh Op Selamat 21 berikutan cuti panjang sempena perayaan terutama membabitkan pergerakan antara daerah dan negeri.

“Pengguna jalan raya mengambil kesempatan untuk melawat saudara mara dan ke destinasi pelancongan dan situasi ini membabitkan pergerakan melalui lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri serta bandaran,” katanya.

Selain itu, sebanyak 731 saman dikeluarkan menerusi Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tiada lesen sah antara kesalahan tertinggi dicatatkan pada operasi itu.

Menurutnya, operasi itu dijalankan di Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Jalan Kuching bermula 10 malam sehingga awal pagi tadi.

Related Articles

Back to top button