Semasa

PAS perlu akui kelemahan, bukan kelirukan rakyat dengan kes Nik Elin – bekas menteri

PAS perlu mengakui kelemahan pentadbirannya menggubal undang-undang jenayah syariah di Kelantan.

Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) Kelantan pada Jumaat berkata, ia telah membuktikan kelemahan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana meluluskan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan.

“Secara moral perundangannya, pembatalan 16 peruntukan dalam EKJS oleh Mahkamah Persekutuan adalah kegagalan fungsi ADUN dan Speaker sekali gus mencalarkan imej DUN dari segi ia tidak menghormati bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepadanya.

“Rakyat Kelantan perlu persoalkan siapa Ahli-ahli DUN yang meluluskan EKJS ini dan siapa speaker Dewan Kelantan yang mengendalikan sidang DUN ketika itu dan siapa penasihat undang-undang yang dirujuk waktu itu,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mujahid menegaskan, untuk menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kepada Jadual 9 Perlembagaan yang menyenaraikan kuasa Parlimen dan DUN, serta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

“Hal demikian sepatutnya dalam pengetahuan semua ADUN PAS di DUN Kelantan khususnya speaker Dewan yang berperanan memastikan setiap enakmen tidak melampaui kuasa yang ada padanya.

“Pembatalan 16 peruntukan dalam EKJS adalah kegagalan ADUN PAS di Kelantan untuk meneliti semua peruntukan yang dipertikaikan.” tambahnya.

Sidang sembilan hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Sejurus keputusan diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.

Justeru, Mujahid menambah PAS sepatutnya menyusuli keputusan mahkamah dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti dan bukan membuat kenyataan mengelirukan rakyat dengan dakwaan ‘mahkamah syariah dicabar’.

Sambil menegaskan semua peruntukan bagi kesalahan jenayah yang dibatalkan dalam enakmen itu sudah termaktub dalam undang-undang persekutuan, Mujahid berkata keputusan dibuat Mahkamah bagi menghormati prinsip keadilan dengan mengelakkan dua hukuman dikenakan kepada pesalah bagi jenayah sama.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tidak terlibat keputusan kes Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

“Ada yang mengatakan undang-undang Allah dibatalkan atas kehendak golongan liberal. Ini satu pembohongan yang boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian yang menjejaskan keharmonian negara dan tidak menghormati Perlembagaan.”

“Bagaimana boleh dikatakan kononnya keputusan ini untuk menghapuskan undang-undang Islam?” soalnya.

Related Articles

Back to top button