Presiden Luiz Inacio Lula undang PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Brazil
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva mengundang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan lawatan rasmi ke Brazil pada November depan.
Undangan itu disampaikan Lula melalui interaksi antara kedua pemimpin melalui perbualan telefon pada Jumaat.
Anwar ketika mengulas perbualan itu berkata, Malaysia dan Brazil telah menyatakan komitmen bersama untuk bekerjasama bagi mempromosi dan melindungi kepentingan negara membangun.
“Kami turut senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara khususnya dalam bidang pengurusan hutan, sektor tenaga hijau, perubahan iklim, industri halal, sains dan inovasi.
“Saya turut mengambil peluang ini dengan mewakili rakyat Malaysia bagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Lula atas sokongan tegas Brazil kepada Palestin,” kata Anwar.
BACA LAGI: Pemimpin Palestin ucap terima kasih kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia
Melalui hantaran sama Anwar turut menyatakan harapan agar hubungan kedua buah negara akan diperkukuh demi manfaat bersama.