Hantaran fitnah terhadap Nurul Izzah, AMK lapor polis
Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah membuat satu laporan polis terhadap kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan terhadap Nurul Izzah Anwar.
Sebelum ini, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard telah memuat naik satu hantaran berunsur fitnah terhadap Nurul Izzah yang mengatakan bahawa beliau telah dilantik sebagai penasihat Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) serta menerima gaji sebanyak RM35,000.
Bukan itu sahaja, hantaran berkenaan turut menyatakan Nurul Izzah dibekalkan dua kakitangan termasuk Nadia Fathin Syahira Ahmad Nazri dengan gaji antara RM5,000 hingga RM20,000.
Susulan itu Nadia yang juga Ketua Biro Dasar dan Manifesto AMK telah hadir bersama peguamnya untuk membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Ahad.
Beliau menegaskan, hantaran yang dilakukan oleh Chegu Bard tersebut berunsur fitnah terhadap Nurul Izzah dan memaparkan maklumat peribadi dirinya termasuk nama dan alamat yang mana kesemua maklumat tersebut adalah bersifat sulit dan secara tidak langsung telah menganggu-gugat keselamatan peribadi serta keluarganya.
“Saya berharap agar tindakan serius dapat diambil terhadap pemilik akaun Facebook tersebut serta individu-individu yang terlibat dalam penyebaran maklumat dan dokumen peribadi tanpa kebenaran itu.
“Ini adalah untuk memastikan segala maklumat, data, hak privasi dan keselamatan semua dilindungi serta perkara seumpama ini tidak akan berulang kepada orang lain pula,” katanya.
Terdahulu, satu laporan polis turut akan dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap kenyataan berunsur fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya.
Nurul Izzah dalam satu hantaran di Facebook berkata, dia telah menerima satu hantaran di Facebook yang berunsur fitnah dan tidak benar terhadapnya Sabtu lalu.
Tegasnya lagi, perlakuan menyebar maklumat palsu serta fitnah adalah perlanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.