Semasa

Keputusan Mahkamah Persekutuan dianggap pengukuhan kepada perundangan Islam -JKSM

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Jabatan Perdana Menteri menjelaskan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 kerana ia melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Badan Perundangan Negeri (DUN).

JKSM melalui satu kenyataan menegaskan susulan pembatalan itu, perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam masih menjadi suatu kesalahan di bawah hukum syarak.

Memberi contoh bagi kesalahan sumbang mahram, apabila mahkamah mengisytiharkan peruntukkan itu tidak sah dan terbatal, ia jelasnya tidak bermakna sumbang mahram tidak lagi menjadi kesalahan bagi orang Islam di Kelantan kerana undang-undang terbabit telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan yang merupakan undang-undang Persekutuan.

“Jika orang Islam di Kelantan melakukan kesalahan sumbang mahram, kesalahan itu boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil. Malah, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan juga lebih tinggi, berbanding dengan hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

“Keputusan ini juga daripada satu segi boleh disifatkan sebagai pengukuhan terhadap perundangan Islam di Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir yang terdapat dalam Mahkamah Syariah adalah selari dengan Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil, dan indikasinya menunjukkan bahawa telah wujud pengharmonian antara bidang kuasa Sivil dan Syariah,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: Muhyiddin Yassin sebar berita palsu – Fahmi

JKSM turut menegaskan, keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan itu bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan secara saksama kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan.

“Dengan adanya peruntukan di bawah Kanun Keseksaan juga, kesalahan itu boleh dipertuduhkan kepada tertuduh dalam kalangan orang Islam dan orang bukan Islam.

“Contohnya, kesalahan muncikari apabila OKT (Orang Kena Tuduh) orang Islam bekerjasama dengan OKT bukan Islam, kedua-duanya boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil. Berbanding jika kesalahan dibicarakan di Mahkamah Syariah, hanya orang Islam yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah,” menurut JKSM.

Justeru tambah JKSM, keputusan berkenaan memberi maksud bahawa DUN berperanan untuk memastikan setiap enakmen yang digubal tidak melampaui kuasa yang ada padanya sebelum sesuatu peruntukan digubal.

Related Articles

Back to top button