ekonomi

Kerajaan berhati-hati sediakan bantuan, tidak mahu usahawan Bumiputera hilang daya saing – Rafizi

Kerajaan akan berhati-hati dalam menyediakan bantuan kepada usahawan Bumiputera, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Langkah itu jelasnya bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sehingga menyebabkan mereka hilang daya saing.

“Semasa kita bantu, ia tidak boleh sampai melemahkan perniagaan Bumiputera.

“Kena seimbangkan antara pembinaan keupayaan dan penyediaan dari segi modal dan latihan. Kita kena berhati-hati,” katanya dalam Episod 3 Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) yang disiarkan di platform media sosialnya.

Rafizi sementara itu turut menekankan bahawa usahawan Bumiputera wajar keluar dari zon selesa.

Mereka tegasnya perlu bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera terutama syarikat luar negara yang mempunyai keupayaan yang utuh berikutan mereka membina sendiri perniagaan tanpa bantuan..

Mengulas mengenai soal bantuan kepada peniaga dan pengusaha Bumiputera, beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sememangnya ada kelemahan yang menyebabkan bantuan yang disediakan selama ini tidak dirasai atau mencukupi untuk usahawan Bumiputera.

Kelemahan itu antara lain berpunca dari kumpulan sasaran yang kurang tepat, skim bantuan yang tersasar serta pertindihan program yang dilaksanakan agensi kerajaan.

“Soal pertindihan adalah masalah besar dalam kerajaan. Kita ada berpuluh agensi yang semuanya mengakui menjalankan program membantu Bumiputera, tetapi programnya itu, kejayaannya bercampur-campur.

“Sebab itu Kongres Ekonomi Bumiputera (yang akan diadakan selama lima hari bermula 29 Februari 2024) sebahagian menetapkan hala tuju dan pendekatan minda yang baharu supaya kita tidak berterusan mengulangi perkara ini,” jelas Rafizi.

BACA LAGI: Kongres Ekonomi Bumiputera bakal tumpu 10 kluster utama

Sebagai rekod, Kongres Ekonomi Bumiputera akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dianjurkan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia dijangka akan menumpukan kepada 10 kluster utama termasuk reformasi pendidikan dan mosal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi bumiputera Sabah, ekonomi bumiputera Sarawak dan penguasaan teknologi baharu.

Related Articles

Back to top button