Nasional

Orang ramai digesa daftar dan kemas kini PADU segera – Mohd Uzir

Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu dilaksanakan dengan segera oleh rakyat Malaysia.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyeru agar langkah proaktif diambil daripada masyarakat dan mengelak untuk membuat pendaftaran dan pengemaskinian maklumat pada saat akhir.

Beliau menyifatkan PADU merupakan lonjakan baharu kepada sistem pengurusan statistik negara yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu katanya, setiap pengumpulan maklumat negara dapat dilaksana secara berpusat dan bersepadu.

“Kita mahu supaya dalam tempoh berbaki lebih kurang 48 hari itu tidak menyebabkan semua orang di saat akhir menggunakan sistem ini menyebabkan kedudukan sistem itu menjadi ‘sesak’ sebabkan terlalu ramai masuk dalam satu tempoh masa.

“Jika mereka memerlukan bantuan dan penjelasan mungkin akan mengambil tempoh agak lama.

“Pada ketika ini, kita menerima lebih kurang beberapa ribu dari pusat panggilan yang menjawab pertanyaan semasa pengisian, mungkin ada tidak jelas menerima jadi kita menerima panggilan daripada para pengguna dari semasa ke semasa yang sekarang panggilan telah meningkat kepada 3,000 dalam satu hari,” katanya ketika menjadi tetamu secara maya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Antara lain, sistem itu akan memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

Related Articles

Back to top button