Pulau Pinang peruntukkan RM15 juta bina bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan bangunan baharu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut (DTL) siap pada 2026.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, bangunan baharu di Jalan Batu Gantung itu bercirikan seni bina Islam moden bakal melengkapkan keseluruhan mahkamah rendah syariah bagi kelima-lima daerah di negeri ini.
Ia kelak jelasnya bakal menjadi mercu tanda kedaulatan undang-undang syariah di negeri itu.
“Saya yakin dengan terbinanya bangunan mahkamah baharu ini yang mana projek akan dimulakan pada bulan April ini telah membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan institusi Islam di negeri Pulau Pinang,” jelasnya.
Dr Mohamad memaklumkan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM15 juta bagi pembangunan bangunan baharu itu.
Ia akan dilengkapi dua dewan perbicaraan, satu dewan serba guna, bilik mediasi, bilik peguam, bilik pendakwaraya, bilik perbincangan, bilik hadhanah bilik barangan kes dan lain-lain kemudahan demi keselesaan kakitangan dan juga pelanggan.
BACA LAGI: Peningkatan peruntukan bukti kerajaan serius tegak syiar Islam
“Apabila siap kelak, ia dapat memastikan sistem penyampaian kehakiman yang lebih efisien untuk manfaat masyarakat khususnya di DTL ini.
“Harapan saya setiap institusi Islam di negeri Pulau Pinang ini hendaklah berganding bahu seiring sejalan dengan Visi Penang2030, terutama dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh umat, supaya semua institusi tersebut dipandang tinggi oleh masyarakat di luar sana,” katanya.,” ujarnya wakil rakyat Batu Maung itu.