IMFC Johor siap tahun ini, jadi pemangkin pacu ekonomi negeri – Menteri Besar
Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di Johor berpotensi untuk menarik lebih ramai pelabur baharu melabur di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pusat sehenti itu yang dijangka siap pada tahun ini ditubuhkan dengan kerjasama antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri akan menjadi pencetus perubahan dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi negeri Johor.
Ia bakal menempatkan semua agensi Persekutuan dan negeri yang bersangkutan dengan pelaburan bakal ditempatkan di IMFC.
“Pada tahun ini IMFC mula beroperasi yang akan memudahkan pelabur seperti disebut pada pengumuman penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor Bahru – Singapura (JS -SEZ) sebelum ini.
BACA LAGI: Malaysia-Singapura meterai MoU kerjasama bangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura
“Pusat ini dijangka memudahkan pelabur yang tidak perlu pergi banyak tempat untuk berurusan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang pada Isnin.
Mengulas lanjut Onn Hafiz berkata, penubuhan pusat sehenti bagi pemain industri pelabur itu adalah kesinambungan daripada pelaksanaan ‘Johor Fast Lane’ yang membabitkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).