Semasa

Jangan dikelirukan, dapatkan fakta tepat kes Nik Elin -IKIM

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyeru supaya semua pihak mendapatkan fakta tepat mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah menegaskan isu dalam kes ini bukanlah tentang kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia.

Tetapi cabaran dikemuka Nik Elin adalah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

“Hukuman Sivil dan Syariah di Malaysia adalah berbentuk takzir yang mana hukuman bagi kesalahan diadakan oleh pemerintah justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di Mahkamah Syariah.

“Fakta dalam isu kes ini adalah berkaitan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen KanunJenayah Syariah (I) Kelantan 2019,” katanya.

Sementara itu tambah Dr Mohamed Azam, pihak IKIM akan menggerakkan beberapa inisiatif dan gerak kerja susulan kes itu bagi memahamkan orang ramai kepada kes berkenaan.

Antara gerak kerja yang bakal diadakan antaranya Persidangan Meja Bulat atau Muzakarah Pakar bagi menyampaikan maklumat perundangan betul melalui program radio dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.

BACA LAGI: Keputusan kes Nik Elin ‘pintu’ perkasa Mahkamah Syariah

“Untuk pengetahuan, sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam telah ditubuhkan pada Disember 2023 yang berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.

“IKIM juga berbesar hati untuk terlibat sebagai anggota dalam sebarang jawatankuasa yang berkaitan dan memberi input kepada Jawatankuasa Khas sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Related Articles

Back to top button