Negeri

Johor lakukan pemutihan, tangani isu ‘Ali Baba’ libatkan peniaga asing

Kerajaan Negeri Johor bakal bertindak tegas bagi menangani isu pemilik yang menyewa perniagaan mereka kepada warga asing.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mohd Jafni Md Shukor berkata, arahan sudah diberikan kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) ‘turun padang’ menyemak lesen perniagaan tujuan pembatalan dan senarai hitam nama pemilik.

PBT terbabit turut diarahkan bagi mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi menangani isu tersebut.

“Saya sudah keluarkan arahan awal tahun ini kepada 16 PBT Johor untuk mula ambil tindakan dan tubuhkan Jawatankuasa Khas serta turun ke lapangan untuk semak lesen perniagaan terutama yang dikendalikan warga asing.

“Jika (lesen perniagaan) disewakan pemilik kepada warga asing atau ‘Ali Baba’, maka kita boleh batalkan lesen dan senarai hitam terus, jangan ingat kebal.

“Kerajaan Johor tidak pernah keluarkan lesen perniagaan termasuk penjaja kecil kepada warga asing. Mereka diharamkan berniaga,” tegasnya.

BACA LAGI: N9 buat pemutihan, pekerja warga asing perlu dipindahkan dari kawasan status kediaman

Beliau yang juga ADUN Bukit Permai turut memaklumkan gerai dimiliki PBT juga sedang menjalani proses pemutihan supaya tiada warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan dikeluarkan.

“Kita juga sudah minta supaya semua PBT meningkatkan operasi berkala bersama polis dan imigresen bagi membanteras peniaga warga asing termasuk di pasar kerana mereka ‘membunuh’ peniaga tempatan,” tambahnya.

Kerajaan Johor juga menurut Mohd Jafni sudah membangkitkan isu perniagaan dikendalikan warga asing menggunakan nama orang tempatan yang dibuat menerusi perkahwinan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, baru-baru ini.

Katanya, isu itu dibangkitkan supaya ada prosedur dan kawalan tertentu dirangka kementerian supaya lesen perniagaan tidak disalahgunakan warga asing untuk berniaga di negara ini.

Related Articles

Back to top button