Semasa

Madu tiruan dalam pasaran: KPDN ambil maklum pendedahan pensyarah kanan USM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum dakwaan seorang pensyarah kanan berhubung kehadiran madu tiruan yang didakwanya mencecah 90% di pasaran.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau telah mengarahkan pihak penguatkuasaan menghubungi Dr Mohd Zulkifli Mustafa dari Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan di Universiti Sains Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut agar tindakan susulan dapat dilaksana.

“Ini kali pertama saya dengar tentang perkara ini… Angka 90% ini membimbangkan.

“Kami perlu dapatkan butiran lanjut untuk tentukan tindakan lanjut, termasuk perbincangan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Zulkifli Mustafa dipetik Berita Harian sebagai berkata kehadiran madu tiruan menjadi cabaran terbesar industri madu kini.

Jelasnya, madu adalah makanan lengkap dalam aspek tenaga, protein, vitamin, bakteria baik dan antioksida. Melalui kajian, pengambilan madu boleh bantu pencegahan penyakit kronik tidak berjangkit akibat gaya hidup mahupun akibat jangkitan.

BACA LAGI: Selepas jagung bijirin, Selangor intai potensi tanaman vanila

Bagaimanapun bagi mengenal pasti madu asli yang mempunyai kelebihan dan kebaikan dalam aspek kandungan, khasiat serta kualiti, ujian makmal diperlukan.

Sementara itu menurut Armizan, susulan pendedahan itu kerajaan mungkin perlu pertimbangkan suatu bentuk peraturan bagi penjualan dan pemasaran madu, seperti yang ada di negara lain contohnya Peraturan Madu (England) 2015.

Related Articles

Back to top button