Global

Malaysia kecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu rejim Israel di Rafah

Malaysia menyatakan kecaman keras terhadap serangan besar-besaran Israel terbaharu rejin Israel di bandar Rafah selatan Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan berkata serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam Palestin yang mencari perlindungan di kawasan itu akan meningkatkan lagi ketegangan dan malapetaka kemanusiaan yang pasti akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata yang berkekalan.

Kenyataan itu menegaskan, operasi ketenteraan rejim Israel berniat jahat dan jelas menunjukkan matlamat ulung mereka untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.

Serangan terbaharu itu juga memperlihatkan kepada masyarakat dunia terhadap sikap angkuh mereka membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 26 Jan lepas mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil Israel termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza.

“Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan tersebut dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa,” menurut Wisma Putra.

Melalui kenyataan sama, Wisma Putra berkata Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak mereka, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai anggota penuh PBB.

Justeru mengambil pendirian menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka oleh rejim Zionis dan menekan masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan,” menurut Wisma Putra.

BACA LAGI: Palestin: Malaysia akan terus sokong UNRWA – PM Anwar

Agensi Berita Palestin WAFA melaporkan serangan kejam Israel ke atas Rafah pada awal pagi Isnin membunuh lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.

Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin kini berada di Rafah selepas tentera Israel memaksa perpindahan beramai-ramai penduduk dari utara ke selatan Gaza

Related Articles

Back to top button