Negeri

Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah ditempatkan di rumah transit sebagai penempatan sementara

Kesemua lima keluarga mangsa kebakaran di tingkat 17 blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras akan diberikan rumah transit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Flat Seri Johor sebagai penempatan sementara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, rumah transit tersebut boleh diduki bermula Khamis ini.

“Bagi mereka yang memiliki rumah sendiri atau dibeli, kita beri tempoh tinggal di rumah transit selama enam bulan manakala yang menyewa kita bagi sampai tiga tahun.

“DBKL juga mengambil tanggungjawab membaiki bahagian luar rumah manakala dalamnya adalah dibawah tanggungjawab pemilik sendiri.

“Saya ingin mengingatkan kepada penduduk dan orang ramai supaya menjaga harta awam sebab kita bimbang dalam kecemasan, paip pili bomba tidak dapat digunakan, kadang-kadang disebabkan vandalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam pada itu, Zaliha memberitahu mangsa kebakaran turut diberikan beberapa jenis sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM7,300 dan barangan keperluan asas daripada agensi-agensi kerajaan.

“Ia merangkumi RM5,000 daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), RM1,000 DBKL, RM1,000 dari Parlimen Bandar Tun Razak, RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kit bencana berupa barangan keperluan harian daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata kebakaran yang berlaku pada malam Ahad lepas dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di unit nombor tiga selain turut menafikan dakwaan bahawa ia berpunca daripada bunga api.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, sebanyak enam buah rumah di tingkat 17 di Flat Sri Sabah terlibat dalam kebakaran mengakibatkan lima keluarga kehilangan rumah.

Dalam kejadian itu, seramai 16 penghuni melibatkan lima unit kediaman flat berkenaan musnah dalam kebakaran dan tiada kematian dilaporkan.

Related Articles

Back to top button