Semasa

Parlimen Tambun jadi tapak pengembangan Program Semarak Malaysia Cinta Al-Quran

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bakal menggerakkan Program Semaran Malaysia Cinta Al-Quran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, program merupakan usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan dan bertujuan membangunkan masyarakat berkualiti selaras dengan konsep masyarakat madani yang menjadi agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami berpendapat bahawa pembinaan masyarakat yang baik itu mestilah berlandaskan al-Quran. Jadi kita telah mengaitkan bahawa program ini selaras dengan agenda negara untuk kita menguatkan sahsiah ataupun keperibadian masyarakat.

“Program ini akan menjadi titik tolak untuk kita mengembangkan pendidikan al-Quran dalam erti kata membaca dan memahami al-Quran,” katanya

Mohd Azmi berkata begitu selepas Majlis Pelancaran Modul Tadabbur Quran dan Serahan Quran Perkata di Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan di Ipoh.

Hadir sama Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad

Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan bersama modul Tadabbur al-Quran yang berpandukan kepada Tafsir al-Quran Perkata untuk rujukan.

Ia akan dimulakan secara berperingkat di masjid-masjid terpilih di dalam kawasan Parlimen Tambun sebelum diperluaskan ke kawasan Parlimen lain.

BACA LAGI: Konsep Malaysia Madani selari dengan saranan al-Quran, jelas Ketua Pengarah IKIM

“Dalam tempoh tiga bulan pertama ini akan menunjukkan kepentingan program ini. Kita akan menjemput ahli-ahli Parlimen yang berminat untuk datang dan memahami bagaimana ia dilaksanakan dan kita mengharapkan mereka juga akan tertarik untuk mengikut model yang dibuat.

“Bermula di Perak, insya-ALLAH ia akan diperluaskan ke negeri-negeri lain yang berminat untuk melaksanakannya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button