Global

Pengundi muda pilih calon Pemilu 2024 yang mampu perbaiki kelemahan Undang-Undang Cipta Kerja

Pengasas Emancipate Indonesia, Margianta Surahman Juhanda Dinata berkata Omnibus Law, Undang-Undang Cipta Kerja yang diluluskan oleh pentadbiran Presiden Joko Widodo menjadi isu tumpuan pekerja, khususnya anak muda.

Jelasnya, pengundi mahu memilih calon yang mampu memperbaiki kelemahan dalam undang-undang tersebut yang nyata tidak memberi kelebihan kepada bakat tempatan.

“Omnibus Law, Undang-Undang Cipta Kerja yang merupakan satu usaha untuk merombak perundangan di Indonesia untuk menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan.

“Tetapi, hakikatnya di lapangan, pekerja mengeluh kerana Omnibus Law ini tidak mampu mengangkat kuasa beli rakyat sehingga mampu hidup selesa.

“Sebaliknya, peluang pekerjaan lebih sempit akibat tindakan mengambil khidmat pakar luar negara dan kadar upah minimum yang berubah sejak 2015.

“Ini yang menyebabkan berlakunya kebangkitan kelas pekerja di Indonesia yang mengeluh dan mahu pemerintah melaksana satu komitmen bagi memastikan kelas pekerja meraihkan taraf kehidupan selayaknya,” katanya menerusi satu video di Youtube Astro Awani pada Isnin.

Menurut Margianta, susulan kebimbangan mengenai jaminan nasib golongan pekerja, sebuah parti baharu dibentuk yang dianggotai oleh kesatuan-kesatuan pekerja turut bertanding dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.

Menariknya, beliau jelaskan ramai dalam kalangan anak muda yang tertarik dengan manifesto yang angkat oleh parti berkenaan.

Menjelang hari penentuan Pilihan Raya Umum Indonesia Rabu ini, golongan pengundi muda dilihat akan menjadi segmen penting pada pemilihan yang turut akan memilih Presiden baharu bagi penggal lima tahun ke hadapan.

Lebih 200 juta pemilih akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih Presiden, Naib Presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Related Articles

Back to top button