Negeri

Penstrukturan semula barisan Exco mampu pacu Johor ke arah lebih baik – Onn Hafiz

Pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2024-2027 adalah bagi memacu negeri itu ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin sebagai muka baharu dalam penstrukturan semula portfolio barisan exco Johor.

Aznan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor menggantikan Norlizah Noh yang digugurkan namanya.

Beliau berkata, pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor diperkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Patik juga menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baru.

“Tahniah kepada ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin yang telah mengangkat sumpah memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di hadapan Tunku Ismail. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Onn Hafiz turut menyatakan penghargaan kepada Norliza di atas segala khidmat dan bakti yang telah dicurahkan selama memegang amanah tersebut kepada negeri Johor.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan exco ini mampu memacu negeri Johor ke arah yang lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti,” katanya.

Dalam rombakan tersebut, Onn Hafiz juga bertanggungjawab ke atas portfolio Menteri Besar merangkumi Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor.

Empat exco kekal dengan portfolio sama iaitu ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar), ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Selain itu, turut kekal ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Exco Hal Ehwal Agama Islam) dan ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail@Md On (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

“Bagi lima exco yang berubah portfolio adalah ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar (Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya), ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Exco Kesihatan dan Alam Sekitar),” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, turut bertukar portfolio adalah ADUN Paloh, Lee Ting Han (Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) dan ADUN Bukit Pasir, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi).

Perlantikan exco baharu Johor itu berlangsung pagi tadi di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Tunku Ismail.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah, kekuatan dan pedoman dalam menempuhi apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.

Related Articles

Back to top button