Umum

Usahawan myAP hasilkan produk berasaskan ikan berjaya tembusi pasaran antarabangsa

Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House & Industry Sdn Bhd di Kota Raja, Selangor yang menjalankan perusahaan keropok lekor telah mencatat kejayaan tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Australia, Singapura dan Brunei.

Usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Selangor itu telah menjalankan perniagaan selama 23 tahun.

Syarikat Bumiputera tersebut juga memperoleh pensijilan Hazard Analysis and CriticalControl Point (HACCP) dan turut mempunyai pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan pensijilan Halal.

Sebelum ini, syarikat terbabit menerima bantuan daripada Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPEKS) sebanyak RM43,500 pada 2016 dan 2022 bagi mempertingkatkan hasil produk yang dipasarkan.

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, nilai pengeluaran myAP seluruh Malaysia pada 2023 adalah sebanyak RM22.9 juta dengan 78 usahawan, manakala bagi 2022 pula kira-kira RM18.6 juta dengan melibatkan 72 usahawan.

“Jabatan Perikanan Malaysia bertanggungjawab dalam membangunkan dan memajukan usahawan dan komuniti perikanan. Penubuhan program myAP di Jabatan Perikanan Malaysia telah terbukti membantu golongan sasar untuk menaik taraf kehidupan mereka di samping turut membantu merancakkan ekonomi Malaysia.

“Selain membantu komuniti perikanan untuk meneroka pelbagai peluang perniagaan berdasarkan sumber perikanan, jabatan juga turut membantu dari aspek pemasaran produk usahawan melalui karnival usahawan perikanan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) dan pelbagai platform promosi lain,” katanya.

Tambahnya, usahawan myAP juga disaran untuk berpegang kepada pelaksanaan dan pembudayaan Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah diberi penekanan oleh menteri sebelum ini.

“Ini merupakan usaha komited jabatan bagi membantu mereka menjual dan memasarkan produk mereka kepada lebih banyak pelanggan, termasuk restoran, pasar tempatan juga pembeli luar negeri.

“Usahawan myAP turut mendapat sokongan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia dalam pengurusan dan operasi perniagaan mereka. Sokongan ini termasuklah pemantauan kualiti produk, penguatkuasaan undang-undang perikanan dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perniagaan.

“Perkara ini penting bagi melonjakkan produktiviti usahawan, kelangsungan sektor agromakanan negara dan seterusnya bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengadakan lawatan kerja ke syarikat terbabit bertujuan meninjau perusahaan pemprosesan produk berasaskan ikan yang telah berjaya menembusi pasaran luar negara.

Related Articles

Back to top button