Sukan

Dakwaan kemelut dalaman, menteri akan jumpa skuad terjun negara

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan dengan skuad terjun negara susulan kegagalan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024

Selain itu Hannah turut memberitahu, pertemuan itu juga bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kemelut dalaman yang didakwa berlaku dalam kem negara sehingga menjejaskan prestasi atlet di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

“Saya akan jumpa mereka (atlet terjun) dalam masa terdekat, dan mendengar semuanya daripada mereka. Tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini, kita sekarang dalam proses untuk melakukan pembaharuan bagi ekosistem sukan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong pada Isnin memohon maaf atas kegagalannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terkandas pusingan kelayakan di Doha dalam acara 10m platform individu.

Beliau mendedahkan kepada media, terdapat ‘gangguan’ terhadap skuad terjun negara sehingga mengakibatkan kegagalan mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah melakukan pelbagai pembaharuan termasuk memberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua atlet selain jurulatih turut diberikan kenaikan gaji.

BACA LAGI:KBS salur sokongan, majukan sukan sepak takraw

Mengenai atlet di bawah program Road to Gold (RTG), Hannah berkata kerajaan telah menyediakan semua keperluan termasuk sumber kewangan kepada atlet yang layak dan mana-mana atlet yang bertanding.

“Sesiapa bertanding ada kemungkinan boleh menang ada boleh kalah… layakkan diri dulu. Proses itu masih berjalan antaranya untuk badminton… layakkan diri kemudian buat yang terbaik dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Related Articles

Back to top button