Hanya Kerajaan Madani naikkan kadar IPG selama dua tahun berturut-turut, pastikan kebajikan pekebun kecil getah terbela
Kerajaan Madani telah meningkatkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) selama dua tahun berturut-turut bagi memastikan kebajikan pekebun kecil getah tempatan terus terbela.
Dalam satu hantaran di Facebook, Kementerian Kewangan (MOF) berkata sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2024, paras harga pengaktifan IPG telah dinaikkan kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM400 juta.
“Namun begitu, bantuan IPG untuk beberapa tahun tidak meningkat (seiring) mengikuti peredaran kos sara hidup.
“Akibatnya, pekebun-pekebun kecil getah ini hanya menambah beban kepada diri sendiri jika ingin meningkatkan produktiviti.
“Secara tidak langsung, bantuan ini juga memastikan hasil pengeluaran getah negara kekal anjal, tidak kira (dengan) perubahan harga pasaran,” kata kementerian itu.
Terdahulu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di paras RM3 sekilogram atau ke bawah.
Katanya, pekebun kecil layak menerima bayaran IPG bermula 1 hingga 29 Februari 2024.
Peningkatan Paras Harga Pengaktifan (PHP) yang baharu merupakan inisiatif kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2024.