Semasa

Jabatan Wilayah Persekutuan,KPKT akan periksa semua sistem penggera di perumahan awam

Jabatan Wilayah Persekutuan akan melaksana usaha memastikan sistem penggera kebakaran dan keselamatan di perumahan awam di Wilayah Persekutuan berfungsi dengan baik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memeriksa sistem tersebut.

“Saya ada juga dengar semalam yang ada masalah dengan paip bomba, jadi kita akan kerjasama dengan bomba dan KPKT.

“Kita bimbang ketika waktu kecemasan, alat pemadaman tidak boleh digunakan kerana dalam keadaan rosak yang mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk vandalisme,” kata Dr Zaliha.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Blok 70 Flat Sri Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras, Cheras pada Selasa.

BACA LAGI: Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah ditempatkan di rumah transit

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan, setiap keluarga terbabit turut menerima sumbangan tunai berjumlah RM7,300.

Sumbangan itu termasuk RM5,000 dari Jabatan Wilayah Persekutuan manakala dari DBKL dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak masing-masing sebanyak RM1,000 serta RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Related Articles

Back to top button