Nasional

Kebakaran tanah gambut di seluruh negara diatasi dengan pelaksanaan projek SMPEM – Nik Nazmi

Antara inisitaif yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk mengelakkan kebakaran tanah gambut adalah pelaksanaan projek Pengurusan Mampan Ekosistem Tanah Gambut di Malaysia (SMPEM).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek berkenaan bertujuan menguruskan tanah gambut di negara ini secara mampan dan bersepadu untuk memulihara sumber, mengelakkan degradasi dan kebakaran serta menjana faedah kepada generasi pada masa kini dan masa hadapan.

“Pelaksanaannya adalah melalui pendekatan secara holistik dengan memperkasakan tata kelola institusi, meningkatkan koordinasi antara agensi dan penglibatan masyarakat setempat.

“Antara hasil awal yang dapat diperolehi daripada aktiviti projek SMPEM ini dan Projek Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Projek Pengurusan dan Konservasi Hutan Simpan Paya Gambut dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia adalah mengawal dan mengurangkan insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjung Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, insiden kebakaran hutan paya gambut di Semenanjung berjaya dikurangkan pada tahun lalu susulan pelaksanaan projek SMPEM.

Katanya, insiden kebakaran hutan paya gambut pada tahun lalu hanya melibatkan keluasan 25.2 hektar berbanding seluas 385.2 hektar pada 2020.

“Begitu juga bagi Selangor dan Pahang, yang mana keluasan kebakaran hutan paya gambut pada 2020 masing-masing adalah 160 hektar dan 171.7 hektar dan telah berkurangan kepada 6.9 hektar dan 2.1 hektar sahaja pada 2023.

“Projek ini telah bermula pada Disember 2020 dan melibatkan lima landskap tanah gambut di Sabah, Sarawak, Pahang dan Selangor. Salah satu aktiviti utama projek ini ialah mengemas kini Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (NAPP),” katanya.

Sementara itu, jelas Nik Nazmi, NRES sedang mengambil beberapa inisiatif untuk mengelak kebakaran tanah gambut dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ia susulan kenyataan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pada Selasa yang menjangkakan negara mengalami keadaan cuaca kering berikutan fenomena El-Nino pada tahun ini.

Tambahnya, risiko daripada keadaan tersebut berkemungkinan berlaku peningkatan kebakaran tanah gambut di seluruh negara yang boleh menyebabkan jerebu dan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.

Pada masa sama, beliau menyeru supaya kerjasama kolektif daripada pelbagai pihak diperkukuhkan untuk memulihara dan memelihara ekosistem tanah gambut yang sangat berharga demi generasi masa kini dan akan datang.

Related Articles

Back to top button