Nasional

Kerajaan umum pelaksanaan sistem struktur gaji penjawat awam pada Belanjawan 2025

Keputusan mengenai sistem struktur gaji penjawat awam dijangka akan diumumkan oleh kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun ini.

Sebelum itu, cadangan penambahbaikan sistem berkenaan dijangka akan dimuktamadkan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

“Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan salah satu fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam (civil service reform) seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan ‘Whole-of-Nation’ bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara,” kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sisitem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 pada Selasa yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Difahamkan, mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif–inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

Kata JPA, segala cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan melalui portal semakan saraan yang telah dilancarkan semenjak 7 Ogos 2023 yang lalu di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac 2024.

Related Articles

Back to top button