Menteri KPKT arah JBPM uji keberkesanan semua pili bomba
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan agar pemeriksaan dan ujian keberkesanan pili bomba di seluruh negara dilaksanakan.
Beliau berkata, arahan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu bagi memastikan kemudahan itu berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kebakaran terutama pada musim panas yang melanda negara ketika ini.
Menurutnya, terdapat kira-kira 410,000 pili bomba di seluruh negara membabitkan 351,000 pili kerajaan dan 65,000 lagi milik swasta.
“Saya telah keluarkan arahan kepada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad supaya semua 337 balai bomba melakukan operasi besar-besaran.
“Memang sebelum ini balai ada jalankan pemeriksaan mengikut rutin dan berjadual, cuma usaha ini akan diperhebatkan lagi untuk pastikan pili bomba dapat berfungsi ketika waktu kecemasan, katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pasar Pasir Puteh pada Selasa.
Pasar itu yang beroperasi sejak 67 tahun lalu musnah dalam kebakaran sekitar jam 12 malam pada Isnin lalu, menyebabkan 70 peniaga terjejas.
Sementara itu dalam lawatannya, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan RM115,000 sebagai bantuan awal kepada semua peniaga terlibat dalam kebakaran itu.
BACA LAGI: Jabatan Wilayah Persekutuan,KPKT akan periksa semua sistem penggera di perumahan awam
Selain itu, pihaknya telah meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengemukakan laporan dan cadangan pembinaan semula pasar berkenaan dalam masa terdekat.
“Kita tunggu laporan daripada MBI dahulu untuk kita lihat bajet dan sebagainya, tetapi ini akan saya jadikan sebagai salah satu projek segera,” tambahnya.