Umum

Pensijilan Autentik diberikan ke atas produk makanan tulen seperti madu – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan Skim Pensijilan Makanan Autentik dengan bertujuan memberikan pengiktirafan ke atas produk makanan yang disahkan tulen.

KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, senarai produk yang terlibat terdiri daripada madu, daging, kopi dan sarang burung walit.

“Sehingga kini, sebanyak tujuh syarikat telah memperolehi Pensijilan Autentik untuk produk madu dari KKM.

“Pada masa ini, KKM sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia, serta Jabatan Pertanian bagi menentukan ketulenan madu menggunakan teknik terkini, iaitu menggunakan teknik isotop sebagaimana disarankan oleh standart makanan antarabangsa Codex,” jelasnya.

KKM memberi reaksi demikian apabila tular mengenai laporan media mengatakan lambakan 90 peratus madu tiruan di pasaran.

Katanya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Pengguna disaran membaca label dan memilik produk makanan yang mempunyai logo Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) seperti Autentik, Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) daripada KKM,” katanya.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemantauan produk madu di pasaran.

Sebanyak 769 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil dari 2016 sehingga kini.

Sementara itu, hasil pemantauan mendapati sebanyak 45 sampel bersamaan 5.85 peratus produk madu tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.

Peniaga yang menjual produk tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang ditetapkan oleh didakwa di bawah Seksyen 13(2)(e) yang jika didapati bersama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Related Articles

Back to top button