Nasional

Perkongsian berlebihan orang awam terhadap isu keputusan Mahkamah Persekutuan dipantau – Saifuddin

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan pemantauan berterusan membabitkan semua perkara yang boleh menyumbang kepada ketidakketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan khas 3R bagi menangani isu berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, agama dan bangsa akan membuat siasatan terhadap reaksi berlebihan berhubung isu berkenaan.

Katanya, ia termasuk reaksi awam berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

“Siasatan akan dilengkapkan dalam tujuh hari sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara spesifik merujuk kepada cabaran yang juga spesifik, di sebalik kenyataan Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) yang sangat jelas, yang mana ia bukan berkaitan dengan mencabar Islam atau pun menggugat peranan Mahkamah Syariah.

“Ia berkisar kepada aspek cabaran terhadap bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang itu.

“Kita berpendapat rakyat akan menilai secara objektif terhadap dakwaan kononnya keputusan itu mencabar Islam, undang-undang syariah dan sebagainya.

“Pemantauan secara berterusan akan dilakukan (terhadap elemen yang menyumbang ketidaktenteraman awam), bukan istimewa untuk insiden ini sahaja,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid (left) and her daughter, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman during the press conference at the Federal Court in Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya telah memutuskan bahawa 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah seterusnya telah melindungi dan mengesahkan keluhuran Perlembagaan Negara.

Related Articles

Back to top button