Nasional

Kerajaan perkenal Beras Putih Malaysia Madani, jangka di pasaran mulai 1 Mac

Kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac 2024.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini bermakna tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, cadangan pengenalan Beras Putih Malaysia Madani itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.

Menurutnya, kerajaan memberi masa kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di pemborong habis.

“Kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti ditampal dengan pelekat harga Beras Putih Malaysia Madani yang ditetapkan.

“Ini memberi ruang (memandangkan) selama 18 tahun harga beras tidak naik. Ini juga bagi membolehkan petani serta pesawah lebih selesa dengan harga siling beras (baharu) dan industri juga boleh bertahan dengan harga RM30 untuk (setiap) 10kg,” katanya.

Harga Beras Putih Malaysia Madani bagi per kampit beras lima kg pula ditetapkan pada harga RM15.50 manakala kampit satu kg pada harga RM3.50

Syed Abu Hussin berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu berperanan sebagai mekanisme untuk menghentikan tindakan memanipulasi atau membungkus semula beras putih tempatan kepada jenama yang lebih mahal.

Katanya, ini kerana segelintir pengeluar sebelum ini dipercayai mencampurkan beras putih tempatan di dalam kampit beras putih import bagi tujuan meraih lebih keuntungan.

“Ia berpunca daripada tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, (sekali gus) menyebabkan harganya sentiasa tinggi selain turut didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button