hiburan

Air mata Dharma Harun gugur, terharu dikunjungi wakil pemimpin dikagumi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyantuni dan mengambil berat nasib artis veteran tanah air.

Melalui satu perkongsian di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan telah mewakilkan Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi menziarahi seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan seniman Dharma Harun Al-Rashid.

Pada pertemuan itu jelasnya, sumbangan peribadi pihaknya telah disampaikan bagi membantu urusan harian dan perubatan kedua-dua mereka.

“Mereka yang pernah terkenal dalam pentas layar negara menerusi karya masing-masing kini diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.

“Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, Insya-Allah,” kata Anwar melalui perkongsian tersebut.

Pada Khamis media melaporkan Dharma Harun, 68, yang popular sekitar era 1980-an mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma selepas diserang angin ahmar ringan pada 2019.

Difahamkan beliau masih perlu mengambil ubat dan melakukan latihan untuk menguatkan ingatan seperti yang disarankan oleh doktor.

BACA LAGI: Seniman veteran Jalil Hamid terima sumbangan daripada PM Anwar

Ditemui pemberita semasa kunjungan oleh Setiausaha Politik perdana menteri itu, Dharma Harun melahirkan rasa terharu dikunjungi wakil tokoh politik yang dikagumi selama ini.

“Saya betul-betul terkejut kerana seorang pemimpin seperti Anwar berkirim salam melalui setiausaha politiknya malah menghantar wakilnya untuk menziarahi saya.

“Apabila dia (Anwar) masih mengingati serta mengenali saya yang sudah lama tak berlakon, ia satu perasaan yang menghibakan,” katanya di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Related Articles

Back to top button