Institusi zakat mesti kurangkan kesenjangan ekonomi, noktahkan kemiskinan – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan institusi zakat mesti memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah asas berkaitan kemiskinan tegar di negara ini.
Anwar berkata, zakat tidak seharusnya dilihat sebagai institusi biasa tetapi adalah institusi unggul dalam konteks pembangunan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan.
“Sehubungan itu, pengurusan institusi zakat harus dilaksanakan dengan tatakelola yang paling baik atau ‘par excellence’ (tiada tolok bandingnya) dan semangat ‘itqan fil amal’ (bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan).
“Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di negeri-negeri, walaupun ia bidang kuasa negeri, saya tidak boleh menerima kenyataan negeri yang boleh mengumpul dana zakat yang besar, tetapi masih ada kelompok miskin tegar.
“Justeru, institusi zakat perlu memastikan golongan yang tertinggal dapat bersaing secara adil.
“Oleh itu, saya tidak boleh terima sekiranya kutipan zakat yang besar tidak mampu menoktahkan sekurang-kurangnya miskin tegar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, Anwar menghadiri Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Pada majlis itu, beliau turut berpeluang meluncurkan e-buku (buku elektronik) yang bertajuk Isu Zakat Kontemporari: Himpunan Soal Jawab Zakat Berdasarkan Rujukan Kitab dan Fatwa dan Malaysia Madani Teras Kelestarian Kewangan Sosial Islam.