Nasional

Jawatankuasa teknikal diwujud lindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi – Johari

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk melindungi syarikat tempatan dalam sektor komoditi bagi mendepani isu-isu berbangkit.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jawatankuasa teknikal tersebut akan memastikan bahawa syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor berkenaan akan dapat menjalankan perniagaan mereka serta mengeksport tanpa ada sebarang halangan dari negara luar.

“Saya telah mengadakan satu perbincangan yang sangat penting bersama Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memastikan produk-produk komoditi Malaysia yang dieksport ke luar negara tidak terjejas akibat daripada regulasi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).

“Regulasi EUDR ini boleh memberi implikasi dan menjejaskan produk-produk sektor komoditi Malaysia untuk dieksport jika kita tidak mematuhinya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Johari berkata, nilai eksport bagi sektor komoditi Malaysia mencecah lebih RM160 bilion setahun dan ia menyumbang sebanyak 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.

Tambahnya, Malaysia juga berpotensi mendapat persepsi negatif di peringkat global sekiranya tidak melibatkan diri secara langsung dalam menangani isu-isu hutan dan kelestarian alam.

“Oleh itu, satu kerjasama yang erat melalui KPK dan NRES ialah sebagai komitmen kerajaan di peringkat Persekutuan bahawa Malaysia memenuhi peraturan-peraturan daripada segi ‘deforestation, traceability & geolocation’ (penebangan hutan, kebolehkesanan & lokasi geo),” katanya.

Related Articles

Back to top button