Semasa

Penjawat awam digesa berfikiran terbuka, berusaha jayakan Pelan Pendigitalan Negara

Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa anggota perkhidmatan awam bersikap terbuka bagi melonjakkan tenaga kerja sedia ada serta menjayakan Pelan Pendigitalan Negara secara holistik

Melalui satu kenyataan beliau berkata, sikap itu dapat menggalakkan penjawat awam untuk bergerak pantas, belajar melalui kesilapan dan meningkatkan kecekapan tugasan.

“Ia juga seiring hasrat Kerajaan MADANI untuk meningkatkan tahap kepenggunaan digital bagi memastikan negara tidak ketinggalan dan dapat bergerak seiring dengan negara maju,” katanya.

Memberi contoh Identiti Digital Nasional atau Digital ID yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Dis lalu, Gobind berkata ia merupakan program tambah nilai yang berjaya memanfaatkan sektor awam dan swasta melalui pengesahan identiti pengguna semasa transaksi digital.

“Ini satu permulaan yang baik dan boleh diperbaiki lagi dengan pendekatan keterbukaan yang sejajar dengan pemikiran digital,” katanya mengulas ucapannya pada sesi perjumpaan bersama anggota pentadbiran kerajaan negeri berkaitan digital di Cyberjaya, pada Khamis.

Sementara itu sebagai mengulas mengenai ekonomi digital, Gobind berkata ia merupakan agenda utama yang berpotensi memacu pemasaran produk tempatan hingga berada di peringkat antarabangsa.

“Inisiatif yang bakal dibangunkan bersama akan bertunjangkan tiga perkara iaitu pembangunan ekonomi digital, kerajaan digital dan masyarakat digital,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan telah memulakan transformasi digital, tambah baik tabdir urus data

“Ketiga-tiga elemen ini penting dalam menghasilkan kepakaran tenaga kerja yang sedia digital dan sudah digital, menyediakan perkhidmatan kerajaan yang digital-dahulu dan menarik minat pelaburan langsung domestik (DDI) serta pelaburan langsung asing (FDI),” tambahnya.

Related Articles

Back to top button