Semasa

Sultan Selangor tegur tindakan gelar keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai ‘Black Friday’

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur kenyataan mengelirukan oleh pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, akademik dan rakyat biasa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata, ada ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes itu.

Namun muncul juga pelbagai ulasan dan tafsiran tidak benar terhadap keputusan kes berkenaan termasuk menggelarnya sebagai “Black Friday” sehingga menimbulkan kegelisahan awam.

“Ada juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda melalui teks dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

BACA LAGI: PAS perlu akui kelemahan, bukan kelirukan rakyat dengan kes Nik Elin

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Related Articles

Back to top button