Negeri

Usaha basmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berjaya

Usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik laporan Bernama berkata, usaha itu adalah antara agenda utama Kerajaan Perpaduan yang membabitkan usaha pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua pihak tanpa ada yang tercicir.

Usaha mengeluarkan golongan miskin tegar daripada garisan kemiskinan tidak hanya membabitkan kaum majoriti Melayu sebaliknya merangkumi etnik lain seperti India dan Cina.

“Di Kuala Lumpur, walaupun majoritinya Melayu tetapi nisbah (populasi kaum) India sangat tinggi dan setiap keluarga India di Kuala Lumpur kita bantu untuk lepaskan daripada garis kemiskinan tegar.

“Ini pendekatan kita tetapi kadang-kadang kita hadapi pemimpin masyarakat (yang) tanya lagi peruntukan orang India.

“Bagi saya, setiap orang (yang) miskin tegar tidak kira (kaum) Cina, Melayu (atau) India, kita selesaikan dan di Kuala Lumpur, Melaka serta Negeri Sembilan daripada angka yang kita peroleh, sudah 100 peratus tercapai,” katanya.

BACA LAGI: Usaha kerajaan noktah kemiskinan tegar libat semua kaum, 

Beliau berkata begitu ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia di Kuala Lumpur pada Khamis.

Anwar ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri menekankan usaha membantu golongan terbabit keluar dari belenggu kemiskinan.

Beliau menegaskan tidak berhajat untuk bersaing membina menara-menara tinggi yang manfaatnya tidak dinikmati rakyat terbanyak.

Related Articles

Back to top button