Semasa

Walau dipadamkan, video parodi Dd Chronicle telah beri kesan serius – Amanah Pahang

Permohonan maaf daripada pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkait video parodi mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah tidak menghalang proses perundangan dikenakan terhadapnya.

Pemuda Amanah Shah Alam pada Khamis membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam berkaitan penghasilan video berdurasi tiga minit 55 saat oleh individu tersebut.

ADUN Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid melalui laporan itu menggesa Dd Chronicle, atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e disiasat antaranya mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233(1)(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kenyataan individu itu menyindir perbuatan minum arak dan berjudi bukan kesalahan bawah undang-undang sivil tegasnya adalah keterlaluan dan sangat mengelirukan.

“Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara,” kata Danial dalam laporan itu.

Danial sementara itu berkata kebanyakan pempengaruh beranggapan mereka mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan tidak menghiraukan sama ada fakta dan kandungan itu tepat serta tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Justeru, katanya, tindakan itu diambil agar ia dijadikan pengajaran buat semua pempengaruh serta orang ramai agar lebih bertanggungjawab terhadap komen serta kandungan yang dimuat naik ke media sosial masing-masing.

BACA LAGI: Hanya orang jahil perleceh hukum agama, kata Mufti susulan video parodi

Selain di Shah Alam, beberapa laporan sama turut difailkan di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, video parodi itu walaupun telah dipadamkan masih meninggalkan kesan yang amat serius.

“Walaupun dipadam, walaupun dia dah turunkan (video parodi) daripada media sosialnya, tapi kesan yang ditinggalkan daripada video sebegitu adalah satu bentuk ancaman yang sangat serius kepada pertamanya, sistem perundangan Islam dalam negara. Keduanya Islam dalam bidang kuasa raja dan sultan atau 3R.

“Jadi dia dah sentuh (3R). Tiada pilihan lain bagi pihak polis dan pendakwaan selain untuk mendakwa orang begini supaya menjadi peringatan kepada kita semua,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button