Kerajaan belum putuskan pengenalan gred Beras Putih Malaysia Madani – Mohamad Sabu
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum menetapkan ketetapan terhadap gred beras putih yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Kata menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, KPKM berusaha untuk mengelakkan kekeliruan yang diwujudkan oleh segelintir pihak.
Bagaimanapun, pihaknya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat yang mencadangkan akan mengadakan perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.
“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari 2024.
“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
“Sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Anwar berkata, beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.
Katanya, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.