Negeri

Kerajaan percepat projek pembesaran LTAPP – PM Anwar

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mempercepat proses peruntukan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu bagi menampung jumlah penumpang di LTAPP yang semakin bertambah.

“Pulau Pinang sendiri terkenal sebagai lokasi tarikan pelancongan yang berjaya namun berdepan masalah kesesakan di LTAPP.

“Untuk melaksanakan projek ini sudah semestinya memerlukan kajian dan daripada segi Kerajaan Persekutuan, projek ini mungkin bermula pada akhir tahun.

“Insya-Allah, hari Rabu depan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, mungkin selepas mendapatkan laporan, saya nak tahu boleh tak kita percepatkan (projek pembesaran LTAPP) ini,” katanya di Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan-Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai pada Jumaat.

LTAPP telah dinaik taraf pada 2013 untuk menampung 6.5 juta penumpang setahun tetapi penumpang berkembang pesat, menjelang 2019, ia mencatatkan sejumlah 8.3 juta penumpang setahun.

BACA LAGI: POC bangun tiga lagi taman perindustrian, rancak pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang

Kementerian Pengangkutan meluluskan cadangan pembesaran LTAPP ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 tetapi ia ditangguhkan selepas berlaku pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada awal tahun 2020.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan pembesaran LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor.

Related Articles

Back to top button