Negeri

Ketetapan jawatankuasa khas akan jadi panduan N.Sembilan perkasa undang-undang syariah

Negeri Sembilan akan berpandukan kepada ketetapan jawatankuasa khas yang dibentuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam memutuskan sebarang perkara berkaitan undang-undang syariah di negeri itu.

“Kita yakin bahawa apa yang Kerajaan Persekutuan lakukan iaitu di bawah MKI sudah mencukupi untuk kita rujuk keputusan selepas ini, kesan atau tindakan yang perlu diambil di peringkat negeri.

“Saya yakin (ketetapan itu) akan lebih tersusun dan berharap (pada) masa akan datang, berapa undang-undang yang ingin kita bawa di peringkat negeri atau enakmen lebih mudah dan teratur, kerana ada panduan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Justeru jelasnya, setakat ini tiada keperluan mewujudkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi membincangkan perkara berkenaan.

Aminuddin berkata begitu selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi.

BACA LAGI: Usaha basmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berjaya

Terdahulu pada Khamis, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Titah baginda dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Related Articles

Back to top button