Semasa

KPM galakkan pelajar jalankan aktiviti pembelajaran di Tapak Warisan UNESCO

Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan murid dan pelajar mengadakan lawatan ke Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negara ini.

Menterinya, Fadhlina Side berkata, pendekatan itu yang boleh dilakukan melalui aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dapat membentuk pelajar untuk menghargai sejarah sekaligus menjamin kelestarian tapak warisan pada masa depan.

“Komitmen itu besar dalam konteks untuk memastikan kelestarian dan menghidupkan budaya serta dari segi pemeliharaan dan kesedaran tentang sejarah yang perlu anak-anak kita ikuti. Ia adalah sebahagian (aktiviti) pembelajaran daripada peringkat Kementerian Pendidikan.

“Jadi program seperti ini memang sangat bermanfaat dan kita sangat galakan pembudayaan ini diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya yang juga Presiden Suruhanjaya UNESCO Malaysia.

Fadhlina berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri Program Warisan UNESCO di Bukit Melaka, Banda Hilir, Melaka pada Jumaat.

Terdahulu Fadhlina dalam ucapannya turut memuji Melaka yang memiliki pelbagai warisan yang turut diiktiraf UNESCO.

“Suka juga saya sebutkan bahawa Melaka merupakan pusat kegiatan bagi pelbagai Warisan Tidak Ketara yang telah diiktiraf oleh UNESCO seperti Dondang Sayang pada 2018, silat (2019), pantun dan perayaan Wangkang (2020), serta kebaya yang sedang dinilai pada tahun ini.

“Sejarah kegemilangan dan kesusasteraan Melaka seperti Hikayat Hang Tuah juga telah diiktiraf oleh UNESCO melalui Program Memori Dunia (MoW) pada 2001,” katanya.

BACA LAGI: Selangor tidak berhasrat kenakan caj bagi lawatan ke bangunan warisan

Beliau turut memaklumkan baju kebaya akan diiktiraf sebagai Warisan Tidak Ketara UNESCO pada tahun ini selepas melalui penilaian yang sedang dilakukan oleh badan dunia tersebut.

“Justeru, komitmen daripada kerajaan negeri amat dituntut bagi memelihara dan memulihara Tapak Warisan UNESCO sepanjang masa,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button