Negeri

Tandas lima bintang dapat insentif RM20,000 untuk masjid dan surau di Wilayah Persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap enam masjid atau surau di Wilayah Persekutuan yang mencapai kebersihan tandas bertaraf lima bintang akan menerima insentif sebanyak RM20,000.

Beliau berkata, insentif itu adalah untuk program keilmuan serta pembangunan dan penyelenggaraan bagi masjid atau surau yang mengikuti Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau bertaraf lima bintang peringkat Wilayah Persekutuan yang dilancarkan pada Jumaat.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) atas usaha yang amat bermakna ini untuk menyerlahkan keindahan Islam serta institusi masjid dan surau.

“Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas dan Surau Bertaraf 5 Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan ini amat besar maknanya untuk kita menyerlahkan qudwah kepada masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Naim juga berkata, masjid dan surau perlu memberikan contoh terbaik dalam aspek kebersihan selain Islam harus diserlahkan sifatnya yang menjulang tinggi nilai rahmah dan dakwah.

“Inilah usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memulakan usaha ini di Wilayah Persekutuan. Semoga ia memberikan kebaikan dan manfaat kepada semua pihak.

“Semoga apa yang kita usahakan ini akan terus memberikan semangat kepada kita semua untuk menjaga dan memelihara kemuliaan masjid dan surau,” katanya.

Related Articles

Back to top button