Negeri

Kerajaan Johor mula usaha benteras kegiatan sewa rumah PPR, RSK untuk kaut untung

Kerajaan Negeri Johor sedang berusaha membendung kegiatan sewa atas sewa membabitkan penyewa Rumah Sewa Kerajaan (RSK) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk meraih keuntungan.

EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 2,000 penyewa RSK di negeri ini yang menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga.

Menurutnya, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan mengenainya.

“Siasatan terhadap isu itu telah dijalankan sejak 2022, selepas menerima banyak aduan berkaitan kegiatan sewa atas sewa dalam kalangan penyewa RSK Johor.

“… ini tidak betul, PPR dan RSK untuk golongan B40 ke bawah. Tidak sepatutnya disewakan kepada orang lain dan tindakan pembatalan perjanjian asal akan dilakukan.

“Penyewa tidak bertanggungjawab itu juga mengenakan kadar sewaan dua hingga tiga kali ganda daripada kadar kebiasaan, iaitu RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya pada sidang akhbar setelah menyempurnakan perasmian Program Pemerkasaan Komuniti RSK Cendana Pasir Gudang pada Sabtu.

BACA LAGI: KPKT berjaya selesai 11,361 isu pertikaian perumahan dan pengurusan strata

Beliau sementara itu menegaskan, antara tindakan tegas yang akan diambil terhadap penyewa-penyewa berkenaan ialah dengan membatalkan perjanjian asal yang mereka miliki.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Jafni turut memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM63.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih PPR dan RSK di seluruh negeri itu.

Peruntukan itu jelasnya bagi pembaikan bumbung, cat baharu dan baik pulih lain membabitkan 13 PPR serta tujuh RSK yang dihuni kira-kira 14,500 isi rumah.

Related Articles

Back to top button