Negeri

Ketua Menteri puji keprihatinan PM Anwar percepat Projek Air Perak-Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memuji keprihatihan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha mempercepat Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS).

Beliau yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Batu Kawan pada Sabtu berkata, Anwar bukan sahaja bertindak sebagai pemudah cara, malah turut berbincang bersama pemegang taruh daripada kementerian berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya lancar.

“Saya secara peribadi menganggap ia berita baik kerana selepas beberapa siri rundingan serta perbincangan membabitkan pelbagai pihak dari pelbagai peringkat, akhirnya projek ini akan dapat segera dilaksanakan.

“Kita bukan mahu lihat Pulau Pinang sahaja maju disebabkan pembangunan ekonomi dan industri yang kita miliki, namun ia juga bawa impak positif kepada Kedah dan Perak khususnya kawasan Perak utara yang masih memerlukan penubuhan estet-estet perindustrian.

“Selain itu, projek ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri Perak sekali gus menggalakkan pembangunan pada keseluruhannya wilayah utara semenanjung ini,” katanya dipetik.

BACA LAGI: Kerajaan percepat projek pembesaran LTAPP

Terdahulu, Anwar ketika mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang pada Jumaat mengumumkan Persekutuan bersetuju membangunkan infrastruktur “Kerian Hi-Tech” sebagai usaha menyelesaikan isu sumber air mentah di negeri itu.

Beliau juga memaklumkan turut bersetuju untuk mempercepat proses peruntukan bagi projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas bagi menampung jumlah penumpang yang semakin bertambah.

Related Articles

Back to top button