Orang Cina dan India datang ke ‘Tanah Melayu’, mereka tumpang hidup atas ihsan – Dr Teo Kok Seong
Baru-baru ini isu kenyataan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mencadangkan agar Kampung Baru Cina di tujuh negeri dijadikan tapak warisan dunia yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjadi tular.
Felo Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong pula berpandangan adalah tidak wajar perkampungan tersebut hendak diiktiraf sebagai tapak UNESCO.
Katanya, ia berbeza sekiranya perkampungan Melayu yang hendak diangkat sebagai tapak warisan kerana negara ini ada pemiliknya, malah sebelum penjajahan lagi.
“Tuannya adalah orang Melayu dan negara ini ada sejarahnya.
“Jadi kalau negara ini ada sejarahnya, orang Cina dan India datang ke sini, mereka menumpang hidup di sini atas ihsan orang Melayu.
“Dan orang Melayu menerima mereka dengan memberi kerakyatan (kepada orang Cina dan India),” katanya program SKOP MG di Youtube MalaysiaGazette TV, malam tadi.
Beliau menegaskan, sebarang bentuk pengiktirafan etnik tidak boleh bersifat 100 peratus kaum-kaum tersebut, di mana kerajaan boleh bercadang untuk menjadikan perkampungan Cina Baba Nyonya dan Chetti India di Melaka kerana di situ ada campuran pengaruh dan budaya Melayu.
“Kalau pun perkampungan Portugis diangkat sebagai tapak UNESCO, ia ada dipengaruhi budaya Melayu. Sebab itu di situ ada makanan dinamakan ‘devil curry’.
“Mana mungkin orang Barat ada makanan asalnya kari ini (devil curry), jadi itu ada asimilasi,” katanya.
Kok Seong turut mengulas seandainya terdapat pihak yang mempertikaikan sekiranya cadangan untuk mengangkat kampung baru Cina adalah tidak dibolehkan tetapi berlainan untuk kampung Melayu.
“Bagi saya kalau nak angkat kampung Melayu dan (penduduk) Melayu 100 peratus tidak mengapa sebab ini tanah Melayu, mereka penduduk asal. Kalau diangkat entiti Melayu, ia mewakili negara ini. Ini negara Melayu.
“Apabila diangkat entiti Cina sepenuhnya, ia macam tak kenalah. Entiti Cina yang hendak diangkat itu perlu ada pengaruh campuran Melayu seperti Baba Nyonya, Chetti India dan Nasrani Portugis,” ujar beliau lagi.
Sejarah menceritakan bagaimana Inggeris memerintah dan memberikan tanah itu kepada penduduk Cina supaya tidak memberikan bantuan kepada komunis dan sejarah menunjukkan betapa baiknya jiwa besar para pemimpin Melayu dahulu yang sanggup bertolak-ansur dengan pendatang untuk berkongsi bumi Tanah Melayu ini dengan orang bukan Islam dan orang asing.