Nasional

Program Kembara JOM penting ke arah muktamadkan Pelan Transisi Kepimpinan Belia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggerakkan Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) sebagai platform mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian itu.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim hadir ke sesi libat urus berkenaan yang diadakan di Melaka Mall, Ayer Keroh dan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Sabtu.

“Antara pengisian aktiviti di bawah Kembara JOM adalah taklimat oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY), aktiviti Rakan Muda oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) dan pameran reruai oleh jabatan atau agensi kerajaan serta banyak lagi.

“Maklum balas tersebut akan digunakan ke arah memuktamadkan pelan tersebut yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668),” kata KBS melalui satu hantaran di Facebook.

Adam Adli berkata, ia juga adalah program dua dalam satu iaitu meraikan aktiviti, mempromosi gaya hidup Rakan Muda selain sesi temu rapat bersama pertubuhan belia sempena proses transisi umur belia.

“Kita akan adakan Kembara JOM ini di setiap negeri bermula di Melaka hingga ke Sabah dan Sarawak dan di sana, program ini akan diadakan selama seminggu untuk kita pergi juga ke kawasan pedalaman bertemu komuniti orang muda.

“Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga telah menyatakan komitmen untuk kita rapatkan hubungan kementerian bersama orang muda yang merupakan pemegang taruh terbesar supaya kita ada interaksi dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi Program Kembara JOM seterusnya ialah di Negeri Sembilan pada 25 Februari ini dan Melaka bakal menjadi tuan rumah penganjuran Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat kebangsaan pada 25 Mei depan yang turut diadakan serentak di negeri-negeri lain.

Related Articles

Back to top button