Agong berkenan terima menghadap ahli Pesuruhjaya RCI Batu Puteh dan pemimpin negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara.
Menurut hantaran di Facebook rasmi baginda, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada 14 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI itu yang dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.
Anwar pada Disember lalu turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.
Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.
Pada hari ini juga, Seri Paduka Baginda turut mengadakan pertemuan bersama beberapa orang pemimpin negara termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.