KPT bantu pelajar lepasan SPM dapatkan khidmat nasihat pada Program Madani Rakyat
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, pameran pendidikan tinggi bersempena program Madani Rakyat bagi membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan khidmat nasihat untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti.
“Pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengunjung yang hadir ke reruai KPT dan antaranya konsultasi pilihan program jurusan melalui Sistem Unit Pusat Universiti (UPU) secara atas talian.
“Konsultasi pinjaman, bayaran balik, simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL),” katanya dalam kenyataan.
Pameran tersebut turut menyediakan tawaran program penajaan dan biasiswa serta bantuan kewangan KPT sepanjang sesi pembelajaran atau sebelumnya.
Dalam masa yang sama, kaunter khidmat pelanggan juga disediakan bagi mereka yang mempunyai pertanyaan berkenaan institusi pendidikan.
Kehadiran pengunjung amat dialu-alukan serta pameran itu bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik dan jitu bagi memenuhi kehendak pengunjung.
Program Madani Rakyat Zon Tengah akan diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor selama tiga hari bermula 23 Februari depan.