Parlimen

Mutang Tagal dilantik sebagai Speaker Dewan Negara baharu

Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 hari ini.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak, mencipta sejarah tersendiri, menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Mutang menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Mutang, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara, hari ini.

“Beliau merupakan anak jati negeri Sarawak berasal daripada etnik Lun Bawang. Ini adalah satu pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat, termasuk orang Ulu di Parlimen.

“Beliau adalah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas,” katanya.

Cadangan itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mutang sebagai Ahli Dewan Negara adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Februari 2024 sehingga 14 Februari 2027.

Menurut kenyataan itu, lantikan beliau merupakan lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Dalam ucapan perasmiannya hari ini, Mutang berkata beliau telah dicalonkan oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg kepada Perdana Menteri.

Mutang berikrar untuk meneruskan usaha mengukuhkan Parlimen, termasuk rancangan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan penambahbaikan kepada peraturan mesyuarat.

Related Articles

Back to top button