Nasional

Pengamal perubatan tradisional, komplementari dikecualikan cukai perkhidmatan sehingga 8 peratus

Pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) 2016 (Akta 775) akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus berkuat kuasa pada 1 Mac 2024, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sehubungan dengan keputusan itu, beliau berkata pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan akta tersebut tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai bagi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

“Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan itu terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Мас 2024.

“Keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini langkah untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Amir Hamzah berkata, ini adalah susulan keputusan Kementerian Kewangan agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan akta tersebut tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.

“Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K,” katanya.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa.

“Maka, pengusaha itu memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button