Semasa

PM Anwar saran penyampaian zakat diselaras bersama agensi lain, elak keciciran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyelaras penyampaian bantuan zakat bersama agensi lain.

Ketika berucap bagi merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad, beliau berkata, penyelarasan itu penting bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan, mendapat manfaat.

“Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak ada satu keluarga dapat empat kali (bantuan), satu keluarga (pula) tak dapat langsung… jadi saya harap ini diurus dengan baik.

“Kerja menteri, timbalan menteri, pengerusi, bukan sekadar meneruskan kegiatan ini, sebaliknya memastikan setiap dana dan setiap sen rakyat kembali kepada rakyat, dan tak boleh diperalat untuk kesenangan peribadi,” katanya.

Sementara itu beliau memberikan tempoh sebulan kepada MAIWP untuk mengemukakan laporan lengkap pencapaian setahun lalu susulan kejayaan dalam kutipan zakat melebihi RM1 bilion.

laporan itu juga perlu mengandungi cadangan dan hala tuju baharu yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada negeri lain terutama dalam urusan kutipan zakat dan penyelarasan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya mahu MAIWP mengemukakan cadangan bagaimana menjadi majlis agama Islam yang terbaik, pengurusan dan tata kelola yang terbaik dan hentikan apa-apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu. Memastikan setiap sen kembali kepada rakyat.

“Saya tegas dalam hal ini terutama di MAIWP kerana mahu ia menjadi mercu tanda kebanggaan ummah dengan tata kelola terbaik, roh perjuangan yang bermakna,” katanya.

BACA LAGI: Pengurusan zakat perlu dikendali dengan betul elak kepincangan

Karnival MAIWP diadakan sempena sambutan Jubli Emas ke-50 penubuhannya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Related Articles

Back to top button