Semasa

Projek pelebaran lebuhraya PLUS fasa 1 dimulakan Jun ini

Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) fasa satu membabitkan laluan Senai Utara ke Sedenak, Johor akan dimulakan Jun ini.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, projek pelebaran empat kepada enam lorong itu membabitkan jarak 21.8 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

“Projek dengan jarak 21.8 km itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak ini agak mencabar berikutan keadaan muka bumi yang berbukit dan curam, ia akan jadi tumpuan utama,” kata Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Untuk rekod, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka.

hampir eseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong, menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu puncak musim perayaan dan cuti persekolahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan berkata, projek pelebaran Lebuhraya PLUS membabitkan kawasan Johor itu akan dibangunkan dengan kos peruntukan RM931 juta.

BACA LAGI: Kerajaan setuju lebarkan jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak

Sementara itu tambah Hasni, projek pelebaran laluan Fasa Dua daripada Sedenak ke Machap akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

Manakala pelebaran sehingga ke kawasan Ayer Hitam dengan jarak 17.3 km ketika ini sedang dalam proses pertimbangan.

Related Articles

Back to top button